Thursday, December 10, 2015

Hari ke-6 (Part 2) : Nasi mandy lauk ayam

Assalamulaikum, sekarang masih lagi dalam perjalanan ke Madinah. Keadaan sini sejuk dan berangin, samsung saya menunjukkan suhu 20'c. Baruje masuk waktu zohor di erm...saya tak sure kat mana.

Di sini, kami akan berhenti untuk makan dan solat jamak zohor dan asar sekali. Apapun, solat dulu tapi bab makan kita sebut jugaklah sebab Ya Allah, lapar sangat. Bila time lapar macamni, orang buat silap sikit kita mesti nak marah, kan?

Cakap pasal marah ni, kat sini nak cerita kejadian di 'RnR'.

Driver bas kata di sini nasi mandy dia sedap. maka kami pun ok jelah, jom. RnR di sini tak cantik, tak banyak dan tak tersusun berbeza dengan RnR di Malaysia. Tapi ada satu bilik khas untuk para pemandu bas berehat. Bangunan restoran besar tapi hanya satu jenis perniagaan sahaja dijalankan. Kedai runcit ada tapi ia berada di luar restoran. Kelihatan konsep berniaga tanpa pesaing dipraktikkan secara meluas di tanah arab...emmm..

Nasi Mandy ini seperti sedia maklum ada pelbagai lauk seperti kambing, ayam, daging lembu selain side dishes seperti kuah dhal/sup, sambal dan sayur. Abang saudara saya nak cuba Nasi Mandy lauk unta. Namun perniagaan tanpa pesaing ini tak bagus sebab pembeli tak akan menang dalam situasi ini. Apa yang dijual, itu jelah yang kami boleh dapat.

Keadaan manusia yang paling rumit sekali, bila lapar. Startje lapar kita jadi tak sabar. Part yang paling sadisnya, biasalah kita orang Malaysia beratur, tapi datang pulak jemaah lain tiba-tiba kaunter kena serbu sebab si penjual lambat sangat.  Akibatnya, bila kita order dulu, tapi orang lain yang dapat, aa mulalah macam ada rusuhan kat situ. Lupa sekejap kita ni dari Mekah. Astargfirullah..


Minta kuah, tapi peniaga ketuk tray banyak kali nak bagitahu jemaah, dah habis. Jadi apa yang ada cuma nasi dan ayam sahaja tanpa side dishes. Minta bayar kurang, tetap 10 riyal dikenakan. Hahaha hebatkan berniaga gaya macamni? Takpelah, halal jelah..

10 Riyal

Kenangan yang bagi kami kelakar, bila tengok lauk dan nasi tu kami sekeluarga tergelak. Terima kasih dekat abang-abang saudara saya sebab gigih dapatkan kami makanan. Alhamdulillah walaupun bukan unta, takde side dishes tapi sedap dan mengenyangkan. Alhamdulillah... kita sambung perjalanan ke Madinah, lebih kurang 4 jam lagi perjalanan.

Hari ke-6 (Part 1) : Hari terakhir di Mekah

Alhamdulillah, perjalanan ibadah umrah kami berjalan dengan baik. Pagi tadi selepas subuh, saya tidur sekejap dalam 3jam dan terus bersiap untuk ke Madinah. Sebelum bertolak, saya dan keluarga selesai melakukan Tawaf Wada'. Tawaf sekejap je, dalam 20 - 30 minit. Dijadualkan bas kami jam 11.30 pagi akan bertolak ke Madinah. Jadi kami banyak masa terluang, kami ambil kesempatan untuk berdoa kali terakhir di hadapan binaan berselibungi kain hitam yang penuh berkat ini.. Doa terakhir saya, saya mohon agar saya, suami, keluarga dan kawan-kawan kami diberikan kesempatan dan dimurahkan rezeki untuk ke sini.

Pemandangan terakhir dari sisi Ka'bah

Ketika ini, suami saya yang berada di Madinah akan bertolak ke Mekah manakala saya akan ke Madinah. Sekarang, situasi kami sama iaitu sedang menunggu beg-beg kami dipunggah ke dalam bas. Kami back-to-back dan hanya selisih atas bas je. Apapun, semoga perjalanan kami ke Madinah dipermudahkan. aminnn..

Backpacker sejati.

Hari ke-5 (Part 4) : #mission3am

Sepatutnya entry ini dah masuk hari ke-6 tapi sebab saya belum lagi tidur selepas balik dari Jabal Nur tadi, sementara nak tunggu subuh maka saya anggap masih lagi hari ke-5. Entry selepas subuh kejap lagi baru saya tukar.

#mission3am ayah bermula dalam jam 2 pagi setelah pulang dari Jabal Nur dekat jam 1pagi tadi. Kenapa awal dari jam 3pagi pulak? Sebab saya balik dari Jabal Nur, saya ternampak dekat TV (di tanah suci, mereka ada siaran langsung khas untuk Masjidil Haram dan Masjid Nabawi 24jam) di lobi hotel kami kawasan Ka'bah tak ramai orang seperti biasa. Saya fikir, apa salahnya pergi awal sedikit.

Alhamdulillah misi saya untuk teman ayah akhirnya tercapai. Dari haritu lagi tak accomplish! Orang mungkin pelik ape mende #mission3am saya dok mention dari haritu? Misinya ada 3:-
  1. Cium Hajarul Aswad;
  2. Solat Saf pertama; dan
  3. Solat banyak kali dalam Hijr Ismail.
Ayah capai misi no. 2 semasa solat subuh terakhir kami di sini dan misi ke-3 beliau accomplish selepas tawaf sunat. Walaupun ayah tak capai misi no. 1 beliau, bagi saya yang paling penting adalah quality time dan memori saya dengan ayah saya.

Ayah, susah sangat nak cakap 'rindu/sayang' kat anak-anak. Tapi kita semua tahu betapa ayah sayangkan kami. Alhamdulillah saya diberi kesempatan yang istimewa ini untuk bersama-sama dengan ayah.

Saya selalu berterima kasih dekat ibu saya, tapi untuk ayah jarang sangat. Dikesempatan ini, saya ingin berterima kasih kepada ayah sebab sentiasa dibelakang saya semasa susah dan senang. Terima kasih sebab sentiasa lindungi saya tak kira masa sihat atau sakit. Terima kasih ayah.

Wednesday, December 9, 2015

Hari ke-5 (Part 3) : Jabal Nur

Alhamdulillah berjaya mendaki Jabal Nur yang terdapatnya Gua Hira' iaitu tempat Nabi S.A.W mengasingkan diri.

Kami menggunakan khidmat teksi dengan bayaran 10 riyal seorang. Sampai di kaki bukit jam 10 malam dan kami mula mendaki jam 1020 malam, dalam masa 30 minit dah berada di puncak bukit. Daripada 12 orang yang beriya nak naik, cuma 6 orang sahaja yang sampai di atas (termasuk saya). Masa nak mendaki tu dah ada group lain jadi kami bukanlah orang yang pertama sampai di puncak.

Alhamdulillah dapat je masuk Gua Hira', kami bergilir-gilir sujud syukur di situ. Kami bayangkan ia gua yang tipikal macam di Malaysia ni. Rupanya hanya timbunan bongkah batu yang besar, ada ruang sikit dan dari gua itu kita dapat lihat Masjidil Haram. Sekitar puncak diletakkan palang besi supaya tiada pengunjung yang terjatuh sebab bukit tu Masya'Allah curam dan terdiri dari batu yang besar. Nasib baik pergi malam, kalau siang mesti rasa gayat. Suhu, tak tahu tapi bayangkanlah, mendaki bukit yang sangat curam tapi tak berpeluh.

Gua Hira' - Cuma muat 2 orang saja.

'Pintu masuk' ke Gua Hira'

Tulisan yang terdapat di sekeliling Gua

Tulisan lagi

Okay, untuk pengetahuan semua nak mendaki Jabal Nur senang saja sebab ia bertangga. Orang-orang Pakistan yang binakan tangga batu tu jadi, jangan terkejut masa mendaki tiba-tiba ada orang beri salam dan sebut 'Malaysia Boleh' sambil menghulurkan tangan. Kesianlah sebab kami tak bawa duit lebih untuk didermakan. Yelah, mereka dah binakan tangga dan wakaf untuk kita daki dengan selesa, tapi sayanglah. Ish. Kenapa kami tak perasan mereka yang berjasa tu? Sebab keadaan situ samar-samar dan mereka baring sambil selubung disepanjang tangga menuju ke puncak. Cahaya tu ada, tapi cahaya dari bandar maka kami cuma nampak tangga tapi tak nampak orang berbaring disitu. Sambil kami mendaki, kami kagum dengan semangat Nabi S.A.W. Agaknya Nabi dulu mendaki macam mana?

'Kedai' di puncak Jabal Nur

Ini pula bukan kedai biasa, souvenir ada, air panas ada, maggi pun ada jual. Masa mula-mula sampai, tempat tu gelap cuma kedengaran bunyi atap yang berlaga-laga dek angin yang kuat. Kami sangka cuma pondok biasa tapi rupanya ada jual beli disitu! Agaknya mereka kira tapak kaki, dah lebih 10 orang lalu-lalang, buka kedai...agaknya. Apapun, ia business strategy yang berkesan, tiada pesaing!

Pemandangan dari puncak

Setelah puas posing dan selfie, kami turun semula dan berkumpul di kaki bukit. Sementara menunggu teksi, kami mendengar kisah Nabi S.A.W yang menggeletar setelah mendapat wahyunya yang pertama, dan ketabahan Siti Khadijah yang sabar menunggu di kaki bukit dengan membawa makanan untuk bekalan Nabi sepanjang beliau berada di Gua Hira'. Refleksi diri, contohi Siti Khadijah untuk memperbaiki diri sebagai isteri.

Kami sampai di hotel jam 1230 pagi dan berbekalkan semangat Nabi, saya kejutkan ayah untuk meneruskan #mission3am. Apa dia misi tu? Sambung entry lain.

Apa pun, janji Ustaz untuk mengisi slot 'apa-apa saja' telah pun ditepati. Alhamdulillah.

Tuesday, December 8, 2015

Hari ke-5 (Part 2) : Refleksi diri

Sebab hari ini tak ada planning nak ke mana-mana, saya decide untuk stay lama sikit di Masjidil Haram. Esok nak ke Madinah pula, jadi saya ambil kesempatan untuk menatap lama-lama Ka'bah. Selepas Zohor saya pulang semula ke hotel untuk cek ibu saya yang tak berapa sihat, dan selepas Asar hingga masuk waktu Isyak, saya stay di masjid tanpa bertemankan ibu dan ayah saya. Persoalan saya sepanjang saya berseorangan :-
  1. Bila saya akan datang semula ke sini?
Besarnya kuasa Dia, dalam 2015 ini betapa banyak ujian dan nikmat dikurniakan yang tak dijangka untuk saya. Cara Dia memakbulkan doa saya amat unik, namun saya tidak terlepas dengan dugaan yang maha hebat. Saya suka kata-kata mutiara ini:

"Allah genggam doa kita, lalu dilepaskan satu persatu, disaat yang paling tepat untuk hamba-Nya"

Janganlah bersangka buruk dengan ujian Allah, mesti ada hikmah disebaliknya. Tak terhitung dosa saya tapi Allah masih terima saya datang ke rumahnya. Sungguh saya rasa tak layak datang ke sini, tapi Allah lorongkan jalan yang mudah untuk saya.

Alhamdulillah, saya berjaya buat tawaf sunat berseorangan sambil mendoakan kesejahteraan suami, keluarga dan kawan-kawan kami.

Semoga saya diberikan kesempatan untuk ke sini dengan suami di masa akan datang. Aminn.

Laser dari menara jam semasa azan dilaungkan. 


Hari ke-5 (Part 1) : Tazkirah Subuh

Assalamulaikum semua sekali lagi di hari ke-5 dari Mekah al-Mukarramah.

Hari ini memang totally tak ada planning dari Ustaz nak pergi mana-mana selepas tazkirah subuh. Walaubagaimanapun, dia kata "Saya akan cuba isi slot apa-apa saja"... sungguhpun trip umrah ini tak mewah dengan makanan dan tempat tidur tapi mewah dengan pengisian yang berbaloi dan ia langsung tidak membosankan. Alhamdulillah.

Tazkirah pagi ini disampaikan oleh ex-student Mutawwif kami. ahhhh..tak ingat nama. Muda, tapi banyak pengalaman beliau antaranya, menjadi pengiring Yg DiPertuan Agung Sultan semasa ibadah umrah. wow, kan? selain berkongsi pengalaman, beliau turut memberikan tips mencium Hajarul Aswad, cara-cara untuk memeluk Ka'bah dan cara-cara solat dalam Ka'bah,

Tips mencium Hajarul Aswad
  1. Baca Bismillah;
  2. Niat nak cium batu tersebut *dalam masa yang sama, ingat doa-doa kita nak baca*; dan
  3. Selit di antara manusia-manusia yang ada disitu.
Insha Allah, dapat

Hem..saya terkesima dengan tips tersebut. Beliau amat menekankan 'Niat'. Niat itu semangat, niat itulah motivasi. Jadi, niat itu penting. Tetapi, kaum wanita tidak digalakkan..tempat itu sentiasa sesak, takut lain pula jadinya. 

Tips memeluk Ka'bah
  1. Datang rapat ke mana-mana bahagian;
  2. Letakkan kedua tapak tangan di serambi *macam bersujud*;
  3. Rapatkan pipi kiri di serambi; dan
  4. Rapatkan dada kanan di serambi.
Kalau dapat peluang tu, berdoalah banyak-banyak, semahu mahunya. 

Tips solat dalam Ka'bah

Solat dalam Ka'bah? Ya! sesungguhnya dahulu semasa dibina oleh Nabi Adam, Ka'bah yang asal adalah berbentuk empat segi tepat. Semasa dibangunkan semula oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, kerana kekurangan bahan binaan maka ia dikecilkan menjadi empat segi sama sepertimana hari ini. Kawasan tapak yang asal pula dijadikan bentuk semi-sfera dan ia dinamakan Hijr Ismail. Jadi, sesiapa yang dapat peluang untuk solat di dalam Hijr Ismail itu, umpama solat di dalam Ka'bah.

Tipsnya adalah seperti berikut :-
  1. Selesaikan 7 kali tawaf; dan
  2. Tawaf yang terakhir, dekatkan diri ke arah pintu Hijr Ismail.
Sekiranya dapat solat dalam Ka'bah, mohonlah doa dalam tiap-tiap sujud kita *antara tips ibu doa*. Di Hijr Ismail juga terdapatnya Pancur Emas. Pancur Emas ini dahulunya keluar air zam-zam, sehinggalah dipasangkan pam air dan ia disalurkan dari bawah tanah ke perigi yang sekarang ini terletak di sebelah kawasan tapak rumah Nabi S.A.W. Pancur Emas tu yang mana satu? di kawasan Hijr Ismail, dongak kepala sedikit, nampak sesuatu di bumbung Ka'bah, itulah ia.



Setelah selesai sesi perkongsian tips-tips, kami diberi peluang untuk menderma kitab yang lazim terdapat di dalam Masjidil Haram. Kitab ini dicetak di Madinah dan ia sahaja dibenarkan di dalam Masjid. Kos bagi 1 kitab dalam 40 riyal sahaja. Kitab yang didermakan akan ditulis nama penderma. Sukalah nak derma atas nama ahli keluarga yang dah meninggal ke, diri sendiri ke, ia akan dijadikan bekalan masa kita mati nanti, insha Allah. 

Boleh tahan banyak juga info yang saya dapat pagi ini. Bagi orang yang jarang hadir ke kursus ibadah Umrah memang rugi seperti saya. Alhamdulillah, dapat tips di Mekah pulak. 

...ermmm kita nak buat apa ye hari ini?

Monday, December 7, 2015

Hari ke-4 (Part 2) : Ziarah Dalam

Alhamdulillah, suami saya dan mak dah selamat tiba di Madinah hari ini. Sempat kami chat selepas saya pulang dari Hudaibiyah. Suami saya gigih update pengalamannya melawat Masjid Nabawi, buatkan saya rasa seronok tapi alangkah seronoknya kalau dapat buat sama2. Anyway, harini dari lepas asar tadi jam 3.30 petang, kami tour area masjid :

1. Pergi kawasan construction, belum siap tapi boleh dah solat kat situ (for the record, ia construction yg paling mahal, jadi harusla ia paling cantik);
2. Tapak rumah kelahiran nabi (building kuning) dijadikan library pada 1370h (berusia 67 tahun);
3. Perigi/telaga zam zam; dan
4. Bekas/kawasan rumah abu jahal dan siti khadijah.

****

Kawasan yang diteroka petang tadi adalah belakang Masjidil Haram, yang menempatkan toilet dan tempat berwuduk. Kedudukan kawasan adalah diantara Bukit Safa dan Marwah, Tapi untuk ke tapak rumah Nabi, lebih dekat jika dari Bukit Marwah. Jenazah yang disembahyangkan akan dibawa antara kedua bukit tersebut. Maka tadi sempatlah nampak dua jenazah diusung untuk disembahyangkan selepas tiap kali solat fardhu *alfatihah*. Snap gmbr lori dia je tadi *hebatnya yang meninggal disini, disembahyangkan beribu-ribu orang, Masha'Allah.

Moment yang priceless, pusing 1 masjid tapi tak sakit kaki sangat, Alhamdulillah.




Hari ke-4 (Part 1) : Masjid Hudaibiyah

Assalamulaikum..

Entry untuk hari ke-4 saya ke tempat bersejarah yang lain pula iaitu Hudaibiyah. Ia terletak kira-kira 9 - 10 kilometer daripada tanah haram, Mekah.

Ikutkan plan asal, pagi ke ladang unta, melawat kilang jahit serambi Mekah dan terakhir, melawat Masjid Hudaibiyah. Tak sangka ladang unta tutup pada musim umrah kali ini. Hasrat ke kilang pembuatan serambi Mekah juga terbantut gara-gara pemandu bas kata tak sempat sebab jauh. Fine. Dapat ke Hudaibiyah pun jadilah.

Dalam perjalanan, Ustaz sempat bercerita sejarah Perjanjian Hudaibiyah. Perjanjian yang dimeterai diantara Nabi S.A.W. dengan Kafir Quraisy. Perjanjian tersebut perjanjian yang berat sebelah dan tidak adil kerana ia menghalang umat Islam untuk masuk ke Mekah untuk menunaikan umrah dan haji melainkan Nabi S.A.W sahaja. Namun, perjanjian tersebut akhirnya terbatal kerana anai-anai memakan kertas perjanjian tersebut kecuali dibahagian tandatangan Nabi S.A.W. Allahuakhbar. Ustaz kata bukti tersebut ada tersimpan dalam muzium. Tapi tak dinyatakan kat mana pula muzium tersebut. Geram, kalau saya tahu dimana, confirm saya akan masuk muzium tersebut.

Setelah perjanjian tersebut terbatal, maka umat Islam bebas masuk ke Mekah sepertimana kita hari ini. Alhamdulillah.

Sampai di Masjid Hudaibiyah, bagi Jemaah yang ingin melakukan Umrah sunat/badal boleh mula niat umrah di sini sebelum masuk semula ke tanah haram.

Tapak sebenar Masjid Hudaibiyah ini sebenarnya dibelakang masjid yang sedia ada hari ini, Hint-nya adalah struktur binaan tak sempurna.


Cuaca agak terik tapi Alhamdulillah angin sepoi-sepoi bahasa. Ayah juga sempat shopping kacang dan kami anak beranak makan dengan gembira sekali. Semangat menjejak perjalanan perjuangan Nabi ini memang lain rasanya. Alhamdulillah, jom balik. Kita Zohor di Masjidil Haram =)

Sunday, December 6, 2015

Hari ke-3 (Part 3) : Plan aborted!

Plan ke Jabal Nur (Gua Hira') terbatal. Kaki cramp selepas mendaki Bukit Rahmah di Arafah + buat umrah sunat selepas dari itu. Mungkin bukan rezeki lagi. Mungkin dengan suami pula lain kali, mungkin Allah nak lorongkan rezeki lain, #mission3am dengan ayah sekejap lagi? Semoga rezeki ayah murah. Semoga kaki ayah kuat!! Siang tadi nampak banner travel agency suami, saya pula excited lebih =)


Hari ke-3 (Part 2) : Ziarah Luar

Ketika ini, suami saya masih lagi dalam perjalanan ke Madinah. Saya pula melawat tempat2 sejarah, jabal tsur, arafah *it's hard to resist from not to climb it*..lain2 tempat hanya pass by saja. Insha Allah malam nanti nak panjat jabal nur (gua hira'). Orang kata malam2 tak ramai orang. Sesetengah pelawat sempat melakukan solat sunat di sana. Apa pun, semoga perjalanan dan urusan hari ini untuk suami dengan mak dan saya sekeluarga dipermudahkan.

Hari ke-3 : Hajjah! Hajjah!!

Itulah panggilan yang digunakan oleh guard dalam Masjidil Haram untuk halau jemaah wanita ke belakang jemaah lelaki untuk solat fardhu. Sakit hati, terkejut pun ada. Semua berebut nak solat depan Ka'abah kennn... tapi itulah darjat lelaki, bukan dibelakang wanita.

Aihh sungguh saya rindu dengan suami saya. Beliau suka bercerita/berkongsi cerita2 dalam hadis dan quran untuk kami jadikan pedoman. Macam satu cerita yang dikongsikan sebelum ini, kata-kata dari seorang tokoh Islam *maaf saya tak ingat* "aku lebih rela berjalan belakang harimau daripada wanita". Maksudnya, janganlah kau tunduk dengan perempuan kerana sesungguhnya kau tunduk dengan perempuan bermakna, kau tunduk dengan nafsu. Itu adalah pemahaman saya, tapi terpulanglah pada pembaca untuk menilai.

Assalamualaikum ☺

Saturday, December 5, 2015

Hari ke-2 : Umrah & Ka'abah

Assalamualaikum, alhamdulillah saya bersama-sama parents dan ahli keluarga lain dah selesai mengerjakan umrah. Insha Allah petang nanti nak buat tawaf sunat pulak. Penat juga berjalan tanpa kasut, tapi alhamdulillah semua ahli group diberi kesihatan yang luar biasa, tempang2 pun laju je dia berjalan. Sungguh, tak tipu! Masih lagi terasa kebas kaki. Sekarang, berehat kat lobby hotel semata-mata nak wassap suami, semoga perjalanan suami dan mak (mertua) ke Madinah esok baik2 saja.

Jarak dari hotel saya ke Masjidil Haram dalam kurang 10 minit(berjalan kaki). Pagi tadi sempat subuh berjemaah di Masjidil Haram, Alhamdulillah. Mulanya ingatkan tak sempat sebab dah dengar azan jam 4 pagi. Tak larat sangat nak bangun, bila bangun jam 5, dengar azan lagi sekali, nah, terus siap solat subuh dan turun ke lobby sebab ibu kata mutawif dah tunggu. Bersiap sebab nak mulakan umrah, rupanya solat subuh berjemaah. Masha'Allah..azan dua kali, yang pertama untuk pesan orang bersiap agaknya. Yang kedua, baru masuk waktu. Bezanya, azan pertama nyaring sikit, macam dalam tv kita dengar hari2. Yang kedua, lembut sikit.

Lepas solat jemaah, balik semua ke hotel untuk breakfast. Dalam pukul 730pagi tadi dah sampai semula ke Masjidil Haram. Pagi tadi masa nak start tawaf tak ramai org lagi. Sebelum nak start tu mutawif remind jemaah apa nak buat, doa apa nak baca.

Masa dah sampai tu, bungkus selipar masing2 dalam plastik (kat pintu gate masuk ada banyak plastik disediakan) lepastu startla baca doa. Masuk, nampakje Ka'abah, rasa sayu sangat...saya menangis. 
Tempat tawaf ada 2 tingkat, tingkat ke 2 dan 3 untuk jemaah yang menggunakan wheelchair. Saya dan parents saya tawaf di ground floor, ikut mutawif. Masa nak tawaf, saya kena tolak, terlepas tangan ibu kejap. Tapi lepas tu ayah pegang bahu saya, kami tawaf berpegangan tangan 3 orang.
Tiap kali sampai kat penjuru hajarul aswad, kan kita kena lambai pastu cium tangan kan?time tu saya rasa syahdu sangat. Tiap kali, tiap kali.. dan tiap kali start feeling tu, saya doakan utk suami saya, family kami, kawan2 kami. Rasa berbaloi sangat.. Lega. Rasa macam Allah dengar doa saya sebab saya dalam rumah Dia. Nak type ni pun saya dah nangis terkenang perasaan pagi tadi.
Indah sangat..

Jika anda berpeluang ke sini, anda pun akan rasa perasaan macamtu juga. Insha'Allah..
Walaupun perjalanan tak berapa nak indah, dengan masalah immigration lambat, jalan jem, nak tunggu dapat bilik pun lama. Tapi bila dapat rasa perasaan macam pagi tadi, saya rasa bersyukur sangat. Alhamdulillah.

Friday, December 4, 2015

Hari Pertama : KUL - JED

Assalamualaikum, Bismillah..inilah permulaan travelog saya menunaikan umrah bersama kedua ibu bapa dan ahli keluarga yang lain.

Flight saya sepatutnya jam 10pagi, tapi delay ke jam 2petang. Apa pun, saya bersyukur sebab saya dimaklumkan oleh Professor saya, saya perlu courier thesis saya secepat mungkin. Alhamdulillah suami saya ada di rumah ketika itu untuk bantu saya print dan hantar pada hari yang sama juga. Alhamdulillah...kalau suami berkeras nak tunggu di airport hingga saya boarding, memang kirim salam. Saya bersyukur sebab Allah bantu saya, Allah bagi saya masa untuk saya selesaikan tugas duniawi saya sebelum saya fokus beribadat untuk-Nya. Alhamdulillah, saya bersyukur sangat flight saya delay.

Mutawif dah siap pesan, memandangkan flight delay, maka kami disaran melakukan solat jamak zohor dan asar sebab kalau boleh, tak perlu solat dalam kapal terbang, lagipun nanti nak ambil wuduk susah. Setelah masuk waktu, kami bergegas menunaikan solat. Selepas itu, kami bergegas pula ke pintu pelepasan, kelihatan ramai jemaah solat di mana2 ruang yang ada seperti bawah tangga. Alangkah bagusnya kalau KLIA sediakan ruang solat yang besar berdekatan dengan terminal pelepasan.

Sebenarnya, saya tak cukup tidur sebab nak siapkan thesis dan saya gemar tidur jika flight saya lebih dari 3jam. Tapi sebab kali ini travel tanpa suami, saya hanya tidur2 ayam je. Bila tersedar, saya membaca dan kadang2 saya teringat moment2 dengan suami saya. Tanpa sedar air mata saya menitis...

Sampai di Jeddah pukul 8malam, bersamaan pukul 1pagi Malaysia. Masa itu dah masuk waktu Isyak, maka ada jemaah solat terus di area tempat menunggu sebelum ke kaunter imigresen. Lebih dari 2jam hingga saya tertidur disitu. Tempoh masa yang lama adalah disebabkan menunggu giliran selepas Jemaah dari Indonesia selesai.

Setelah pintu untuk ke kaunter imigresen dibuka,  jemaah semua terpinga2 dengan sistem Arab Saudi sebab:
1. Tiada line yang nyata untuk orang beratur;
2. Sistem Down; dan
3. Officer main telefon.
Total masa beratur di kaunter, lebih dari 2jam.

Memandangkan beg bagasi dah lama menunggu untuk dikutip, proses mencari bak mencari harta karun tu dah 1 hal lain. Saya paling tak suka mencari2 barang ni. Dah selesai semua, tunggu bas di satu ruang yang disediakan, jadi kami sekeluarga lepak disitu. Saya tak tahu berapa lama, sebab saya tidur nyenyak. Mungkin saya terlalu penat. Bas tiba, saya terus duduk sebelah ayah, dan saya sambung tidur.

Saya tiba di hotel hampir pukul 3 pagi. Kira2 7jam overall dari mula landing di airport hingga landing di katil. Smpai hotel, saya solat, salin baju, tidur. Alhamdulillah. Saya perlu tidur sebab Mutawif akan tunggu di lobi pukul 5.30pagi nanti. Jumpa lagi!

Sunday, November 22, 2015

Suntikan Vaksin Meningococcal

Assalamualaikum..
Suntikan Meningococcal atau nama glamour nya meningitis dengan sebutan menin-jai-tis adalah suntikan yang wajib untuk urusan permohonan visa. Ia telah dikuatkuasakan dari tahun 1988 oleh Kementerian Arab Saudi untuk permohonan umrah dan haji.

Menurut sumber dari portal Tabung Haji, vaksin ini dapat mengekalkan daya imuniti badan selama 2 tahun. Maka, jika anda murah rezeki dan tiap-tiap tahun dapat peluang mengerjakan umrah, maka vaksin ini perlu diambil setiap dua tahun sekali. Keperluan vaksin ini adalah bagi mengurangkan risiko terkena jangkitan bakteria di otak, saluran darah dan spinal cord.

Kerajaan hanya support/bagi service dengan kos RM5 hanya untuk jemaah yang mengerjakan ibadah Haji sahaja. Diulang, Kerajaan hanya support/bagi service dengan kos RM5 hanya untuk jemaah yang mengerjakan ibadah Haji sahaja. Saya highlightkan - hanya untuk jemaah yang mengerjakan ibadah Haji sahaja. Annoying tak? Sorry =D

Sehubungan itu, untuk jemaah yang ingin mengerjakan ibadah Umrah, silalah ke klinik swasta untuk dapatkan suntikan yang tersebut di atas. Kos untuk suntikan boleh didapati dengan harga serendah RM 90 hingga RM 250. Mahal kan? patutlah kerajaan hanya support untuk yang pergi Haji sahaja. Macam suami saya, dia cuma bayar RM110 sebab suntik di kampung halamannya. Manakala saya, sebab beria nak teman parents pergi cucuk, kos seorang dikenakan sebanyak RM 120. Highly recommended Klinik Qistina terletak di Seri Kembangan, Selangor. Seorang RM 150, untuk 3 orang, RM 120. Ramai lagi, tak tahulah mungkin lagi murah (bolehlah pergi secara berjemaah). Walaubagaimanapun, stok ubat ini sangat terhad, jadi silalah call klinik yang berkenaan terlebih dahulu.

Sila dapatkan buku suntikan lazimnya tertulis World Health Organization & International Certificate of Vaccination kerana ada sesetengah klinik, offer murah tetapi hanya keluarkan document pengesahan yang menyatakan kita dah suntik. Lepastu nak bagi travel agent, bagi yang original. Mana tahu rezeki murah, tahun depan nak pergi Umrah lagi, rasa-rasa ada tak orang nak cop pengesahan 'Seperti Dokumen Asal' dekat salinan yang belum tentu pun kita simpan. Kalau buku, next 2 years nak cucuk lagi, boleh guna buku yang sama.

Begitu juga untuk suntikan vaksin Influenza dan Pneumococcus. Sama. Dapatkan di klinik/hospital swasta, cuma harganya berbeza kalau tak silap saya, vaksin Influenza kos RM 95, Penumococcus RM 130 (di klinik Qistina). Nak dapatkan kedua-dua suntikan ini di klinik kerajaan, saya tak sure boleh dapat ke tak bagi urusan Haji sebab saya tanya untuk suntikan yang wajib (meningitis) sahaja haritu.
Diharap info ini boleh membantu. Sekian, Assalamualaikum.

Permohonan cuti

Di dalam jabatan kerajaan, pelbagai kemudahan cuti diberikan, cuti yang sesuai dimohon bagi mengerjakan ibadah umrah, antaranya :-

  • Cuti rehat; dan
  • Cuti tanpa gaji.
Cuti rehat

Jika baki cuti masih banyak, ada 12 hingga 14 hari, permohonan cuti rehat boleh dimohon dengan cara biasa. Isi borang permohonan cuti ke luar negara, habis cerita. Jangan lupa klik (sebab sekarang guna sistem HRMIS) untuk mohon insurans perjalanan. Tempoh mohon, standard di Jabatan PDRM is 1 bulan sebelum tarikh cuti bermula.

Jika baki cuti lebih dari 10 hari tapi kurang dari 12 hingga 14 hari, permohonan cuti rehat boleh dimohon dengan cara biasa tetapi, perlukan budi bicara bos kita nak luluskan atau tidak. Selalunya tak lulus. Tapi kita boleh cuba >.<

Jika baki cuti lebih dari 5 hari tapi kurang 10 hari, pergilah umrah masa penghujung Disember. Urusan yang complicated sebab nak mohon cuti yang kita belum layak ambil. Justeru, mohonla lebih dari sebulan sebelum tarikh mengerjakan umrah.

Cuti tanpa gaji

Digunakan jika cuti kurang dari 12 hingga 14 hari. Be prepared untuk tidak mempunyai income selama sebulan sebab by hook or by crook, komitmen nak kena bayar. Kalau tak, nama kau siap-siap ada dalam list C-Cris. Cara untuk memohon cuti tanpa gaji :-

  1. Dapatkan borang cuti tanpa gaji di pejabat admin; atau
  2. Isi borang melalui sistem;
  3. Isi informasi yang diperlukan contoh : gaji bersih, pendapatan sampingan, pendapatan suami;
  4. Jika tiada dokumen sokongan (pengesahan dari pejabat travel agency) isi sebab-sebab cuti : 'URUSAN PERIBADI'; atau
  5. Jika ada, lampirkan sekali dengan borang cuti; dan
  6. Submit selewat-lewatnya satu bulan sebelum mengikut exact date nak start cuti.
Kelulusan cuti tanpa gaji perlulah melalui saluran yang betul, iaitu :-

  1. Bos kita;
  2. Pejabat pendtadbiran (HR);
  3. Bahagian rekod personel;
  4. Bahagian kewangan;
  5. Unit Gaji.
Jangan lupa untuk memaklumkan secara bertulis A.S.A.P kepada unit rekod jabatan masing-masing bahawasanya anda telah kembali bertugas selepas tamat tempoh bercuti. *untuk JPDRM sahaja, saya tak sure untuk Kementerian/Jabatan lain bagaimana prosedurnya.

Implikasi cuti tanpa gaji dan dalam tempoh cuti itu kita ke luar negara, maka lepas habis cuti tersebut ada tempoh edah 5 tahun tak boleh mohon cuti tanpa gaji untuk ke luar negara sekali lagi. Lama gila kan? Mampu ke? There's so many way, you'll find it insha Allah! Semoga berjaya

**Alhamdulillah urusan tough ini dipermudahkan. Bagi saya tough sebab banyak sangat birokrasi. hummm

Thursday, November 19, 2015

Dokumen Umrah

Assalamualaikum..

Seperti yang kita sedia maklum, permohonan untuk mengerjakan umrah ni memerlukan visa. Sehubungan itu, dokumentasi yang lengkap kena ada. Tapi mana satu nak buat, ikut tertib ni saya rasa boleh dijadikan contoh :-
  1. Bayar deposit dengan agen travel - 6 bulan sebelum;
  2. Dapatkan suntikan miningitis di klinik swasta (dapatkan buku rekod suntikan) - 3 bulan sebelum;
  3. Dapatkan suntikan influenza/pneumokokus (tak wajib tapi ia disarankan untuk yang berumur 60 tahun dan ke atas) - 1 bulan sebelum;
  4. Serahkan Passport original - 1 bulan sebelum;
  5. 4 keping gambar ukuran 3cm x 6cm latar belakang putih, dan bertudung hitam untuk perempuan - 1 bulan sebelum; dan
  6. Salinan surat beranak yang diakui sah oleh JPN (jika pergi dengan keluarga) - 1 bulan sebelum; atau
  7. Salinan sijil nikah suami & isteri yang diakui sah oleh pejabat agama (jika pergi dengan pasangan).
Dokumen seeloknya siapkan sebulan awal untuk memudahkan travel agensi mohon visa di kementerian arab saudi. Selain itu juga, bulan terakhir tu lah selalunya travel agensi akan adakan kursus dan taklimat umrah, pengagihan beg dan buku doa, dan kita juga akan busy untuk sediakan peralatan kelengkapan umrah. Jadi, untuk mengelakkan sebarang kekalutan berlaku, adalah baiknya kita buat persiapan lebih awal. Ada je yang hantar seminggu sebelum nak pergi, tapi kelam kabutlah sikit dan menyusahkan travel agen tu pulak. Ingat, hidup ini kalau boleh, terapkan nilai suka meringankan/memudahkan kerja orang lain, insha Allah, Allah permudahkan urusan kita.

Itu saja setakat ini. Nak sambung cerita untuk apply cuti bagi yang bekerja di jabatan kerajaan. huhu.

Assalamualaikum.

Belanja mengerjakan Umrah

"Berapa belanja kau eh?" persoalan yang perit nak dijawab, sebab perbelanjaan saya ditanggung oleh Ayah. Kesudahannya nanti, secara kesimpulannya, kos perbelanjaan adalah setakat mana yang kita mampu kerana kita sendiri yang pilih pakej Umrah yang ditawarkan. Senarai syarikat travel yang berdaftar dengan Kementerian Arab Saudi boleh didapati di laman web ini http://intranet.jawhar.gov.my/umrah/p_agensi.php untuk panduan semua. Apa pun, pilihan terletak ditangan anda.

Rata-rata pendapat dan pengalaman kawan-kawan saya, perbelanjaan harian selama 10 hari untuk seorang kat sana macam makan, jalan-jalan dan shopping menelan belanja maksimum RM2.5k dan minimun bawah RM1k sahaja. Belanja, duit kau suka hati kaulah nak manage macam mana. Pengalaman saya travel sebelum ini, paling sedikit saya bawa RM500 (tidak termasuk tiket flight dan penginapan) siap ada baki lagi. Sumpah, tak tipu. Lagilah pakej umrah yang dah siap sedia makan, penginapan, tour guide siap dengan beg free pulak tu. Jadi, rasa-rasa bajet berapa kat sana nanti? jawapan saya, terpulanglah.

Thursday, November 12, 2015

Umrah 1437h - Pre

Assalamulaikum semua,

Ini adalah entry pertama saya mengenai Umrah jadi jika ada kekurangan/kesilapan informasi, maafkan saya. Dalam blog ini, saya nak share pengalaman persediaan sebelum, semasa dan selepas mengerjakan umrah bulan December depan. Jika ada sebarang pertanyaan lanjut atau anda sedang membaca entry ini bukan pada tahun 2015, boleh e-mail kepada saya terus di nor_alia87@yahoo.com. Insha Allah jika saya ada kesempatan masa, saya balas.

Idea untuk mengerjakan umrah ni diutarakan oleh Ibu saya awal tahun haritu, lantas disokong verbal oleh saya, kewangan disokong oleh Ayah saya dan akhirnya diizinkan oleh Allah S.W.T.  Alhamdulillah, sehingga kini, 30% persediaan untuk ke Mekah dah selesai. 30% itu adalah :-
1. Bayaran untuk kos mengerjakan Umrah;
2. Persediaan documents; dan
3. Permohonan cuti (penjawat awam).

Tujuan saya ke sana, nak jaga Ibu sebab dia ada lelah. Orang ada lelah ni kena extra-care sebab hujung tahun kan musim hujan/sejuk, ditambah dengan sakit kaki menyebabkan ibu terpaksa solat guna kerusi. Saya duk pikir, nanti ayah ke nak bawakan kerusi ibu hulu hilir? ayah pun dah tua. Kalau apa-apa jadi, ayah boleh teruskan ibadah, biar saya jaga Ibu. Yakin ayah mampu jaga walaupun takda saya, tapi ibu sendiri request saya ikut sebab dia kata "ibu senang nano jaga, ajak nano sebab nano bujang, takda komitmen keluarga" katanya, masa awal tahun haritu. Nah, bulan July yang lepas saya dah selamat dinikahkan oleh ayah huhu tapi Alhamdulillah, suami saya izinkan sebab kebetulan sebelum kami berkenalan, dia pun rancang pergi Umrah dengan Mak (Mertua) bulan Dec ni. Cuma beza 2hari sahaja, saya pergi dulu, nanti jumpa sayang kat sana.

Indahkan rancangan Allah S.W.T ni?

"Sesungguhnya aku ingin mengerjakan Umrah, maka permudahkanlah bagiku.."

Ameenn.

Teruskan pembacaan di entry seterusnya. Terima kasih semua.

Assalamualaikum..

Gambar pinjam dari sajadahmuslimku.blogspot.com